Sunday, March 6, 2011

Nasihat dari Mantan PM Malaysia - Tun Mahathir

‘Usahawan Melayu perlu bijak, cekap’

Kelemahan urus wang punca ramai gagal walaupun dibantu: Dr M

JITRA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan usahawan Melayu supaya cekap dan bijak mengurus wang kerana ia kelemahan paling ketara dalam kalangan ahli perniagaan dan usahawan bangsa itu sehingga menyebabkan ramai gagal walaupun pelbagai bantuan diberikan kerajaan.

“Bila dapat wang mereka belanja ke jalan yang tak dapat menambah modal atau pusingan modal. Ada juga guna untuk melabur dalam perniagaan lain tetapi tak dapat keuntungan, malah perniagaan rugi dan gagal membayar balik hutang,” kata bekas Perdana Menteri.
Berucap pada majlis makan malam amal Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kedah, di sini malam kelmarin, beliau turut menyarankan usahawan Melayu menceburi perniagaan francais yang menjanjikan keuntungan dan kurang risiko.

Selain itu, katanya, usahawan Melayu, khususnya kontraktor perlu berusaha gigih membuktikan mereka mampu melaksanakan projek tanpa sebarang masalah.

Katanya, ketika ini kontraktor Melayu hanya bergantung kepada projek kerajaan kerana terlalu sedikit syarikat swasta memberikan projek kepada kumpulan itu, tetapi ia boleh berubah jika mereka membuktikan boleh menyiapkan projek dengan jaya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir berkata orang Melayu masih memerlukan bantuan kerajaan, tetapi pada masa sama mengingatkan mereka jangan berharap bantuan itu akan kekal selama-lamanya.

“Kita kena ingat bila tiada lagi dasar ekonomi atau kerajaan yang dipilih rakyat nanti tidak lagi bersimpati dengan kita (memberikan bantuan kepada orang Melayu), kita mesti boleh meneruskan kehidupan dan kekal dalam perniagaan.
“Jika sentiasa berjalan menggunakan tongkat (bantuan kerajaan), sampai bila pun kaki kita tidak kuat. Buanglah tongkat dan cuba berjalan dengan kaki sendiri,” katanya

Rujukan : Berita Harian 6/3/2011

No comments:

Post a Comment